Alu-aluan Presiden Sempena Muktamar 0 Comments Published by Yusri Mohamad on Wednesday, August 22, 2007 at 4:02 AM.
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
"Nabi s.a.w telah ditanya: Apakah yang dapat dibandingkan dengan jihad pada jalan Allah? Nabi s.a.w menjawab: Kamu tidak akan sanggup melakukannya. Pertanyaan tersebut diulang sehingga dua atau tiga kali. Tetapi baginda masih menjawab: Kamu tidak akan sanggup melakukannya. Pada kali yang ketiganya baginda bersabda: Perumpamaan orang yang berjihad pada jalan Allah samalah seperti seorang yang selalu berpuasa dan selalu melakukan ibadat malam serta taat kepada ayat-ayat Allah. Beliau tidak merasa letih dari puasa dan sembahyangnya sehinggalah orang yang berjihad pada jalan Allah itu kembali"
Hadis Riwayat Muslim
Alhamdulillah dan syukur dengan limpahan dan inayah dari Allah kita mendapat nikmat untuk meneruskan agenda perjuangan menjalankan amal dakwah dan memperjuangkan manhaj berasaskan sunnah junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w.
Muktamar kali-36 ini, ABIM sekali lagi tampil dengan temanya yang baru JATIDIRI GERAKAN DALAM MENDEPANI CABARAN ZAMAN sebagai cetusan yang mampu memainkan peranan pemangkin usaha murni dakwah ABIM di samping memperkukuhkan wadah perjuangan dengan tarbiyyah yang berasaskan dakwah harakiyyah.
Di tengah-tengah kegawatan suasana cabaran zaman, ABIM harus tampil sebagai penggerak insan yang lena dan alpa dengan bencana yang menduga umat Islam Malaysia khususnya dan dunia amnya. Pembudayaan amalan tarbiyyah ABIM secara konsisten harus dilihat dengan lebih serius sebagai peneguh jiwa yang tercabar dek suasana persekitaran. Suasana yang menggugat akidah umat Islam Malaysia masa kini menjadi tanggungjwab kita bersama sebagai agen peneguh kembali jiwa-jiwa mereka kembali memahami Islam dengan betul.
ABIM dalam kerangka dan peranan yang besar ini harus melihat dengan lebih jelas peranan yang sedang dan bakal dimainkan untuk mendidik Ummah agar tidak terus menerus dihimpit dengan pelbagai hakisan terhadap jatidirinya. Sebagai warganegara yang merdeka dan menelerusi kemerdekaan ke 50 tahun, seharusnya kita memuhasabahkan diri dan jemaah kita agar bebas merdeka dengan erti kata kebebasan dalam petunjuk Allah yang menjadi sibghah (celupan) berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.
Semoga Muktamar Sanawi kali ini menjadi titik tolak agenda perubahan dalam meneguhkan tarbiyyah dan mengeratkan tautan ukhuwah sesama kita dalam menghadapi cabaran semasa dan akan datang.
" JATIDIRI GERAKAN DALAM MENDEPANI CABARAN ZAMAN"
Selamat bermuktamar
YUSRI MOHAMAD
Presiden
0 Responses to “Alu-aluan Presiden Sempena Muktamar”